Followers

Friday 15 July 2011

KEISTIMEWAAN PEMBACA AL-QURAN DI SISI ALLAH SWT


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
KEISTIMEWAAN PEMBACA AL-QURAN DI SISI ALLAH SWT ”                                                              
(15 JULAI 2011 / 13 SYAABAN 1432H)


Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Di kesempatan berada pada hari Jumaat dan pada bulan Sya’ban yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “KEISTIMEWAAN PEMBACA AL-QURAN DI SISI ALLAH SWT”.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,Al-Quran ialah Kitabullah terakhir yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dan merupakan senjata paling mujarab, ubat yang paling mustajab dalam menyelesaikan segala permasalahan kehidupan. Di dalamnya penuh dengan nur hidayah, rahmat dan zikir-zikir serta panduan. Sebagai kitab wahyu yang dipenuhi mukjizat dan keagongan yang tiada tolak bandingnya dengan kitab-kitab yang lain maka bagi mengekalkannya dalam kehidupan kita, ianya perlu dijaga dengan sentiasa membaca dan menghafal serta memahami isi kandungannya agar berada di dalam jiwa dan hati setiap muslim. Firman Allah SWT dalam surah al-Hijr ayat 9:
Maksudnya: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur'an, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.

Rasulullah SAW menggesa umatnya agar sentiasa membaca al-Quran dan mendalami dari segi bacaannya. Abu Zar RA pernah berkata bahawa beliau meminta Rasulullah SAW memberi pesanan yang berpanjangan, Rasulullah SAW bersabda: Semaikanlah perasaan taqwa kepada Allah kerana ia adalah sumber kepada amalan-amalan baik. Aku meminta supaya Baginda menambah lagi, Tetapkanlah membaca al-Quran kerana ia adalah nur untuk kehidupan ini dan bekalan untuk akhirat. Kita dapati para sahabat RA seperti Uthman, Zaid bin Tsabit, Ibnu Mas’ud, Ubay bin Kaab dan lain-lain lagi, mereka ini sentiasa membaca al-Quran dan mengkhatamkannya setiap hari Jumaat. Begitu juga amalan tradisi orang-orang tua kita dahulu  juga mewajibkan pendidikan al-Quran kepada anak-anak. Anak-anak tidak dibenarkan keluar rumah selagi tidak membaca al-Quran dan mereka mengamalkan pembacaan al-Quran setiap malam selepas waktu maghrib secara beramai-ramai. Ini membuktikan mereka sangat mengambil berat tentang pembacaan dan pendidikan al-Quran.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Banyak hadith-hadith yang menjelaskan keistimewaan mereka yang sentiasa membaca al-Quran begitu tinggi dan mulia di sisi Allah SWT seperti dalam satu hadith Qudsi di mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa yang sentiasa sibuk dengan al-Quran dan zikir mengingatiku daripada meminta-minta kepadaku, maka aku akan anugerahkan perkara yang lebih baik daripada Aku anugerahkan kepada mereka yang sentiasa memohon kepadaku itu. Dan kelebihan kalam Allah di atas segala kalam yang lain seperti lebihnya Allah di atas makluk-Nya. Dalam satu hadith lain yang bermaksud: Apabila seseorang dapat mengkhatamkan bacaan al-Quran satu kali, 60 ribu malaikat memohon keampunan dari Allah SWT untuknya. Mereka yang menjadikan al-Quran sebagai bacaan utama setiap masa akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT. Setiap huruf yang dibaca akan dikira sebagai sepuluh pahala. Sabda Rasulullah SAW:

Bermaksud:Sesiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran, maka bagi-nya diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kewajiban seumpamanya, tidak aku katakan( alif, lam, mim ) itu satu huruf, akan tatapi alif satu huruf dan lam satu huruf dan mim satu huruf. (Riwayat Tirmizi)

Mereka juga akan dinaikkan darjatnya di sisi Allah SWT sebagaimana yang dikatakan oleh Amr bin Ash: Barangsiapa membaca al-Quran maka mereka akan di naikkan ke darjat di kanan dan di kiri para nabi, melainkan tidak diturunkan wahyu kepada mereka sahaja. Muka pembaca al-Quran sentiasa berseri-seri, sentiasa dalam keadaan tenang dan kehidupannya dirahmati dan dimurahkan rezeki oleh Allah SWT. Ketika berada di alam kubur diluaskan kedudukannya serta mendapat syafaat di akhirat nanti. Hadith Rasulullah SAW:

Maksudnya: Bacalah kamu akan al-Quran, sesungguhnya (al-Quran) akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada pembaca-pembacanya.(Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW sentiasa mengutamakan para sahabat yang membaca al-Quran dan yang menghafal dibandingkan dengan sahabat yang lain. Ini dibuktikan dengan tindakan Rasulullah SAW apabila menghantar sesuatu utusan, baginda akan memilih darpada kalangan sahabat yang banyak menguasai al-Quran sebagai pemimpin. Begitu juga ketika berhimpunnya para syahid yang terkorban untuk dikebumikan, Rasulullah SAW sendiri menguruskannya sehingga ke liang lahad dengan mendahului para syahid yang hafaz di kalangan sahabatnya.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Sebagai umat yang beriman maka sewajarnya al-Quran dibaca, difahami dan dijadikan panduan dan sumber rujukan yang utama  dalam apa juga kegiatan hidup samada dari sudut akidah, syariat dan akhlak, khususnya dalam menangani pelbagai permasalahan, cabaran semasa  untuk mencapai kehidupan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Namun persoalannya pada hari ini terdapat segelintir umat Islam yang lemah iman, goyah pegangan akidah dan akhlaknya menjadi kaku bibir dan kelu lidahnya untuk menyebut ayat-ayat Allah SWT dan keras hati apabila terdengar ayat al-Quran. Mereka lebih gemar mengalunkan dan mendengar nyanyian lagu-lagu yang melalaikan berbanding ayat al-Quran. Tidak kurang pula ada dikalangan kita yang hanya berbangga dengan menggantung ayat-ayat al-Quran yang mahal-mahal sebagai hiasan tanpa memahami erti dan pengajaran darinya. Lebih-lebih lagi amalan menggantung ayat al-Quran tertentu, kononnya sebagai pelaris perniagaan.
Justeru, mimbar menyeru marilah sama-sama kita menjadikan budaya membaca al-Quran sebagai gaya hidup.kita mesti yakin bahawa al-Quran sahajalah yang mampu menjadi ubat dan penawar kepada segala jenis penyakit samada rohani atau jasmani yang sedang melanda masyarakat masa kini. Janganlah kita hanya membaca al-Quran pada masa-masa tertentu sahaja seperti ketika dalam kesusahan, ketika sakit, ketika menghadapi saat kematian atau pada hari tertentu sahaja.
Ibu-bapa perlulah memprogramkan penghayatan al-Quran dalam keluarga terutama kepada anak-anak dengan memperuntukkan masa seperti selepas solat maghrib sebagai waktu membaca, mempelajari dan mentadabbur al-Quran. Mengambil usaha dengan menghantar anak-anak ke kelas pengajian al-Quran samada di surau dan masjid atau di kelas yang telah disediakan secara berguru. Di samping itu mempelajari al-Quran juga boleh dilakukan dengan cara mendengar bacaan di radio, kaset dan di media-media elektronik dan sebagainya

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Mimbar mengambil kesempatan sempena dengan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa kali ke53 yang akan diadakan di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur bermula dari 16hb hingga 23hb Julai 2011 bertemakan Persefahaman Asas Perpaduan Ummah”, menyeru para jemaah sekalian untuk sama-sama menghadiri majlis tersebut bagi mendengar dan menghayati kandungan dan pengajaran daripada ayat-ayat suci al-Quran yang akan diperdengarkan oleh para Qari dan Qariah dari seluruh dunia. Semuga dengan kehadiran kita ke majlis tersebut akan menyerikan lagi dan mendapat rahmat dari Allah SWT serta dapat meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT. Mengakhiri khutbah pada minggu ini, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Israa ayat 45:

Maksudnya: Dan apabila kamu membaca Al-Qur'an, Kami jadikan antaramu dan orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu, suatu dinding yang tertutup.





Sumber JAKIM.....





Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
BELIA PEMANGKIN TRANSFORMASI NEGARA”
(27 MEI 2011 / 23 JAMADIL AKHIR 1432H)

Muslimin yang di Rahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya, di samping kita mempertingkatkan usaha dalam mendidik anak-anak dan ahli keluarga agar menyempurnakan kewajipan masing-masing. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: BELIA PEMANGKIN TRANSFORMASI  NEGARA.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Islam adalah agama yang sangat memuliakan para pemuda dan belia. Al-Quran banyak menceritakan kisah perjuangan para Nabi dan Rasul AS yang kesemuanya adalah orang-orang terpilih daripada kalangan pemuda dan belia. Ibnu Abbas  RA pernah berkata: Tidak  ada seorang nabi pun yang diutus Allah, melainkan ia dipilih di kalangan pemuda sahaja (yakni 30-40 tahun). Begitu pula tidak ada seorang ‘Alim pun  yang diberi ilmu, melainkan ia (hanya) dari kalangan pemuda. Al-Quran telah merakamkan kisah Nabi Allah Ibrahim AS yang telah berdebat dengan kaumnya serta menentang peribadatan mereka yang salah ketika beliau diawal usia belia. Firman Allah SWT di dalam al-Anbiya’ ayat  51- 56;

Bermaksud: Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Nabi Ibrahim sebelum itu hidayah kebenarannya, dan Kami adalah mengetahui akan hal keadaannya. Ketika ia berkata kepada bapanya dan kaumnya: Apakah hakikatnya patung-patung ini yang kamu bersungguh-sungguh memujanya? Mereka menjawab: Kami dapati datuk nenek kami selalu menyembahnya. Ia berkata: Sesungguhnya kamu dan datuk-nenek kamu adalah dalam kesesatan yang nyata. Mereka bertanya: Adakah engkau membawa kepada kami sesuatu yang benar sebagai seorang Rasul, atau engkau dari orang yang bermain-main sahaja? Ia menjawab: bahkan Tuhan kamu ialah Tuhan yang mentadbirkan langit dan bumi, Dialah yang menciptakannya; dan aku adalah dari orang yang boleh memberi keterangan mengesahkan yang demikian itu.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Junjungan kita Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi Rasul ketika Baginda berumur 40 tahun. Pengikut-pengikut Baginda yang membentuk generasi pertama Islam kebanyakkannya juga terdiri daripada kalangan pemuda, bahkan ada yang masih kecil. Yang paling muda ketika itu Ali bin Abi Thalib dan az-Zubair bin al-Awwam yang baru berusia 8 tahun, manakala yang termasuk dalam usia belia seperti Ja’far bin Abi Thalib yang berusia 18 tahun, Qudaamah bin Abi Mazh’un berusia 19 tahun, Said bin Zaid dan Shuhaib ar Rumi berusia dibawah 20 tahun, ‘Aamir bin Fahirah 23 tahun, Mush’ab bin ‘Umair dan al Miqdad bin al Aswad berusia 24 tahun, Abdullah bin al Jahsy 25 tahun, Umar bin al Khathab 26 tahun dan ramai lagi yang berusia di sekitar 30 tahun.
          Malah terdapat ratusan ribu lagi para pejuang Islam yang terdiri daripada golongan pemuda dan belia. Mereka memperjuangkan dakwah Islam dan menjadi pembawa panji-panji Islam di zaman Rasulullah SAW ataupun sesudah itu. Usamah bin Zaid ketika dilantik  oleh Nabi SAW sebagai Panglima untuk memimpin pasukan kaum muslimin memasuki wilayah Syam dalam usia 18 tahun. Padahal diantara anggota pasukannya terdapat orang yang lebih tua seperti Abu Bakar, Umar bin Khathab dan lain-lainnya.
Demikianlah gambaran sepintas lalu kehebatan generasi muda/belia Islam pada masa silam sehinggakan ada di antara kisah perjuangan mereka dirakamkan oleh Allah SWT di dalam kitab suci al-Quran. Diantara ada sebahagiannya tergolong sebagai  Rasul dan Nabi dan ada yang tergolong dalam kategori orang biasa. Masing-masing telah menggalas tanggungjawab dengan penuh adil dan amanah.
Apa lagi yang diperlukan oleh golongan belia hari ini, apabila Allah SWT sendiri yang mempersaksikan betapa kemuliaan dan ketinggian sumbangan mereka kepada agama Allah merentas zaman dalam salasilah rantaian para nabi dan Rasul? Semoga generasi belia/muda hari ini dapat memanfaatkan masa muda yang dikurniakan Allah dengan meneladani jejak-jejak perjuangan generasi terdahulu sebagaimana yang disarankan di dalam sebuah hadith:


Bermaksud:“Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara, masa mudamu sebelum datangnya masa tuamu, masa sihatmu sebelum datangnya masa sakitmu, masa kayamu sebelum datangnya masa miskinmu, masa lapangmu sebelum datangnya masa sibukmu, dan masa hidupmu sebelum datangnya masa matimu. (Hadis riwayat al-Hakim dan Ibn Abi Syaibah)

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Negara sangat mendambakan munculnya generasi belia yang memiliki kekuatan sama seperti yang pernah dilahirkan dalam sejarah ketamadunan umat pada masa silam. Generasi belia yang memiliki kekuatan semangat dan daya juang yang tinggi, luas penguasaan ilmu serta berkeupayaan untuk memimpin anggota masyarakat. Dengan memiliki eleman-eleman ini, mereka diharap dapat memainkan peranan sebagai pemangkin kepada agenda transformasi negara dan ummah.
Transformasi membawa maksud perubahan bentuk (sifat, rupa atau keadaan). Dalam erti kata yang lain, ia merupakan proses peralihan dari satu dimensi ke satu dimensi yang lain, daripada keadaan senario sedia ada yang sudah berlegar di ruang pemikiran ke satu ruang yang lain, lebih baik atau lebih sempurna. Dalam konteks negara kita, agenda transformasi yang merangkumi transformasi ekonomi, sosial, pendidikan, sektor awam serta lainnya telah dan sedang digerakkan bagi merealisasikan wawasan menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020 nanti.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Mimbar ingin mengingatkan bahawa dengan membiarkan diri, negara dan ummah  berada dalam keadaan yang lemah, mundur dan dibelenggu dengan perkara yang negatif bukanlah pilihan yang baik bagi umat Islam. Menjadikan Malaysia sebuah negara maju bukan hanya cukup dengan bergantung kepada kekuatan ekonomi dan pembangunan fizikal semata-mata, malah yang lebih penting lagi adalah mempunyai warganegara yang hebat dan berkualiti dari segi pendidikan, keusahawanan, politik, persatuan dan sukan, di samping pegangan agama yang kukuh. Justeru itu, mimbar menyeru kepada umat Islam sekalian khususnya kepada golongan belia  agar perlu memberi tumpuan kepada bidang keilmuan dan pendidikan kerana ia adalah asas kekuatan untuk menjadikan mereka bijak pandai yang mencorakkan kejayaan rancangan berkenaan. Berdasarkan laporan Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC) menunjukkan 80 peratus tenaga kerja tempatan mempunyai taraf pendidikan setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sekaligus tidak sejajar dengan ekonomi berpendapatan tinggi sepertimana yang disasarkan.
Serentak dengan itu, perlu dipupuk kewujudan sebuah iklim intelektual yang kondusif dan tradisi keilmuan yang komprehensif, seimbang dan sepadu. Tradisi keilmuan ini perlu disepadukan dengan penerapan iman dan takwa. Hasil yang diharapkan adalah lahirnya generasi belia yang berilmu dan berakhlak mulia. Ingatlah bahawa generasi yang hanya memiliki ilmu yang tinggi tetapi perilakunya penuh dengan keburukan hanya membawa masalah kepada zaman. Akhirnya tidak ada beza antara mereka yang punya banyak ilmu tetapi terkutuk akhlaknya lantaran akal budinya tidak didasari fitrah keimanan.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Golongan belia kita juga harus mengambil peluang melalui pembabitan dalam kegiatan berpersatuan. Maklumat Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia sehingga April tahun 2010 menunjukkan ada 7,709 persatuan belia dengan lebih 1.9 juta ahli berdaftar. Malah kewujudan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 bertujuan memperkasakan semula pertubuhan belia supaya dapat menarik lebih ramai generasi muda bergiat aktif dalam pertubuhan itu.
Penglibatan golongan belia secara aktif dalam kegiatan berpersatuan sudah pasti akan dapat mempertingkatkan potensi diri mereka menerusi ilmu berpersatuan dan kepemimpinan, pendedahan, pengalaman, malah mampu membina jaringan komunikasi antara belia atau persatuan sehingga ke peringkat antarabangsa. Mereka belia perlu membina jaringan komunikasi supaya dapat membantu diri dalam urusan sosial, ekonomi atau perniagaan dengan pihak lain pada masa hadapan.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar menyeru para jamaah sekelian, khususnya golongan belia untuk menghayati beberapa perkara yang telah digariskan oleh Dr. ‘Abdullah Nasih ‘Ulwan, dalam bukunya Daur al-Syabab fi Haml Risalah al-Islam (Peranan Pemuda Dalam Memikul Risalah Islam) sebagai bekalan dalam memikul tanggungjawab sebagai pemangkin agenda transformasi Negara dan ummah, antaranya; Pertama: Setiap belia Islam mestilah mengetahui matlamat dia diciptakan oleh Allah SWT. Kedua: Setiap belia Islam mestilah mempunyai gambaran dan maklumat tentang strategi musuh yang setiap detik berusaha menghancurkan Islam. Ketiga: Setiap belia Islam mestilah menaruh harapan untuk menempuh kejayaan dalam bidang dakwah dan menghindarkan perasaan pasif dan berputus asa. Keempat: Setiap belia Islam mestilah mengambil contoh teladan yang ditunjukkan oleh para Sahabat seperti tercatat dalam Sirah. Kelima: Setiap belia Islam mestilah mengetahui teknik dakwah yang bijak supaya dapat memberi kesan kepada orang lain dan keenam: Setiap belia Islam mestilah mengetahui dengan penuh keyakinan qadha’ dan qadar Allah SWT itu hanyalah disisi-Nya sahaja.




Sumber JAKIM....


Wednesday 13 July 2011

Bila Diri Disayangi

Terdengar bisikan mesra
Kalimah keramat bermentara
Bermulanya siang berakhir malam ku
Tak akan ku jemu menyebut nama-Mu

Tiada batasan waktu
Tiada tempat Mu tertentu
Di gunung di lembah, di darat, di air
Siapa pun hamba, keikhlasan doa, keagungan
Kasih merubah takdir

Bila ku sedari diri disayangi
Langkah kaki ini semakin berani
Bila terkeliru ku ucap nama-Mu, terasa diriku
Kembali dipandu

Engkau yang pertama, tiada akhirnya
Aku dalam kegelapan Engkaulah cahaya
Izinkahlah aku menumpang di sini
Di bawah naungan kasih dan sayang Mu
Ku berserah diri

Tanggungjawab

Assalamualaikum wbt...
Salam ukhuwah untuk semua..
Kali ini saya ingin berkongsi tentang adab, iaitu adab meminjam. Sekarang ini kita sering mendengar tentang orang yang meminjam, tapi tidak memulangkannya kembali. Sama ada dalam bentuk wang mahupun harta benda. Jika kita meminjam wang dipanggil berhutang. Walaupun sepuluh sen, ia tetap hutang melainkan si pemberi hutang tersebut telah menghalalkan sepuluh sen tersebut atau sedekahkan kepada si penerima tersebut.

Hutang wajib dibayar walaupun tidak ditutntut. Inilah ungkapan yang sering kita dengar. Selalunya jika sahabat yang meminjam wang, sahabat yang memberi itu selalunya serba salah untuk menuntut kembali wang dari sahabatnya kerana risau sahabatnya itu masih lagi tidak mampu untuk membayarnya. Jadi, menjadi tanggungjawab si peminjam untuk membayar balik wang tersebut jika mampu. Jika masih lagi tidak mampu, beritahulah sahabat kita untuk melanjutkan tempoh pembayaran tersebut.Insya-Allah, beliau akan menerima alasan itu dengan baik.

Jika harta benda yang kita pnjam, seharusnya kita memulangkan balik harta benda itu dalam keadaan asal seperti mana yang kita pinjam. Jika hilang atau rosak, bayarlah dengan nilai harga barangan itu sebagai ganti rugi. Sudah menjadi tanggungjawab peminjam untuk menjaga benda yang dipinjam sebaik mungkin.

Apa yang ingin saya perkatakan di sini adalah tentang tanggungjawab kita. Orang akan mempercayai kita jika kita amanah. Amanah terhadap barang yang dipinjam. Sifat amanah adalah sifat yang mulia. Janganlah kita sesekali merosakkan kepercayaan orang lain terhadap diri kita. Mungkin sesetengah orang berpendapat, "sekali aku tidak percaya, selama-lamanya aku tidak percaya". Pendapat ini seharusnya dijauhkan kerana manusia itu boleh berubah menjadi lebih baik. Mungkin sebelum ini dia tidak amanah, tetapi sekarang dia telah insaf dan berubah menjadi orng yang amanah terhadap apa yang dilakukannya.

Sekian.....

ANALISA

Hayatilah lirik nasyid ini......


Analisa, analisa analisa siapa kita

Adakah mengucap kalimah syahadah
Solat lima waktu puasa zakat
Pergi ke Mekah tunaikan haji
Telah dikira Muslim sejati

Sedangkan sembahyang tiada kekhusyukan
Puasa dikerja banyak kekurangannya
Keluarkan zakat kerana terpaksa
Tunai Haji untuk pangkat dan nama
Analisa, analisa, adakah Islam sempurna

Kita mengaku adanya Tuhan
Namun larangan tetap dilakukan
Ada malaikat kiri dan kanan
Tidak diendah akan kehadiran

Percaya Rasul dan para nabi
Sunnah mereka tidak dituruti
Quran dibaca tiada penghayatan
Intipatinya tidak diamalkan

Hidup akhirat engkau yakini
masih mengejar nikmat duniawi
Qadha dan Qadar telah ditentukan
Ditimpa musibah
hilang redha dan kesabaran

Analisa, analisa,
adakah Iman sempurna

Makhluk termulia di mayapada
Kerana tinggi akhlak dan taqwa
Tapi sekiranya ia tiada
Renungkanlah diri cari jawapannya

Analisa...Setinggi manakah taqwa
Analisa...Semulia manakah kita
Analisa...Adakah kita hamba kepada-Nya
tanyalah diri kita



Tuesday 12 July 2011

Adab menunggu

Assalamualaikum wbt..
Salam untuk sahabat sekalian. Apabila kita bercakap mengenai adab, memang terlalu banyak perkara yang ingin diperkatakan. Waktu ini saya hanya ingin membincangkan tentang adab menunggu. Sama ada menunggu rakan, ahli keluarga, guru atau sesiapa sahaja, kita harus mengekalkan adab tersebut dan jangan sesekali kita melanggarnya.

Kita sering mendengar orang-orang tua mahupun ibu bapa kita berkata, "biarlah kita yang menunggu orang, jangan sesekali biarkan orang menunggu kita". Seperti kita berjanji ingin berjumpa dengan rakan pada waktu tertentu, hendaklah kita datang seawal mungkin dari waktu yang telah ditetapkn. Begitu juga jika kita ingin pergi ke sesebuah syarikat untuk menghadiri temuduga. Kita mestilah datang lebih awal dari waktu yang ditetapkan supaya keadaan tidak menjadi kelam kabut. Pandangan pertama penemuduga terhadap kita juga akan menjadi positif. Jika kita datang lewat, mugkin kita akan tertinggal sebarang dokumen yang penting, jadi kelam kabut dan tercungap-cungap ketika menghadiri temuduga. Pandangan penemuduga juga akan menjadi negatif terhadap kita. Mungkin penemuduga akan beranggapan yang kita jenis yang tidak bertanggungjawab, bagaimana mereka ingin memberikan kerja kepada kita.

Oleh itu, sama-samalah kita menjaga adab kita yang telah sekian lama dijadikan amalan oleh datuk nenek moyang kita dahulu.. Sekian..

Keputusan..

Dalam kehidupan seharian, berapa kali kita membuat keputusan? Cuba kita hitung. adakah sekali, dua kali, sepuluh kali dalam sehari? Jawapannya adalah lebih dari itu dan mungkin mencapai ribuan keputusan yang kita buat dalam seharian. Cuba kita renungkan, bermula dari kita bangun dari tidur, kita sudah mula membuat keputusan, sama ada ingin terus tidur atau bangun untuk solat subuh, menggeliat dahulu sebelum solat subuh dan lain-lain lagi. Hanya dalam beberapa ketika sahaja kita sudah membuat banyak keputusan.

Maka, dalam seharian kita memang terlalu banyak membuat keputusan. Kadang-kala kita akan rasa pening atau tertekan kerana terlalu banayk perkara yang perlu di fikirkan dan perkara yang perlu diutamakan. Otak kita juga memerlukan rehat. Tujuan saya menulis hal ini adalah untuk kita merehatkan minda kita. Bukannya kita perlu jadi malas dengan tidak melakukan apa-apa pekerjaan, tetapi kita melakukan sesuatu perkara yang dapat menenangkan fikiran kita walaupun untuk seketika..

Dalam hal ini, saya dapat memikirkan beberapa perkara yang boleh kita lakukan untuk merehatkan fikiran,. Saya telah mencuba cara-cara ini dan alhamdulillah, ia berkesan untuk menenangkan fikiran saya. Perkara pertama yang saya lakukan ialah dengan melakukan aktiviti bersama keluarga seperti berjalan-jalan di taman. selain mengikatkan ukhuwah antara keluarga, kita juga telah merapatkan kasih sayang antara ahli keluarga. Kedua, membaca al-Quran. Apabila kita membaca al-Quran, kita akan rasa seolah-olah tiada apa-apa disekeliling kita. Apa yang kita nampak hanyalah ayat-ayat al-Quran. Insya-Allah, bukan setakat fikiran kita akan tenang, jiwa kita juga akan tenang, masalah juga akan hilang. Insya-Allah..

Inilah serba sedikit nukilan dari insan yang lemah yang banyak kekurangan. Apa yang saya tulis di sini adalah sebagai peringatan untuk diri sendiri dan juga untuk para pembaca sekalian. Wallahualam...

Monday 11 July 2011

permulaan

Assalamualaikum..
Alhamdulillah, setelah sekian lama ingin mempunyai blog sendiri akhirnya tercapai. Banyak perkara yang ingin saya kongsikan di sini termasuklah pengalaman-pengalaman sebagai pelajar, sebagai anak, tugas kita, tanggungjawab kita sebagai pelajar, sebagai anak, dan juga sebagai seorang muslim. 


Pertama sekali ingin saya kongsikan dengan semua tentang niat kita.Kehidupan kita seharian bergantung kepada niat. Jika baik niat kita, insyaAllah maka baiklah ganjaran yang kita akan dapat nanti. Tetapi jika niat kita terpesong, maka sebaliknya akan berlaku. contohnya, jika kita ke sekolah, universiti, ke tempat kerja mahupun kemana-mana, betulkan niat kita terlebih dahulu. biarlah niat kita kerana Allah. InsyaAllah, sebarang pekerjaan yang kita lakukan akan di berkati, rezeki yang kita dapat juga mendapat keberkatan dari Allah s.w.t.. Oleh itu, sama-samalah kita bermuhasabah diri supaya kita dapat memperbaiki diri kita demi kebaikan diri kita, keluarga dan juga masyarakat sekeliling. Wallahualam.. Sekian.